KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyerahkan kepada Kerajaan Sarawak bagi menguruskan projek menaik taraf lima bulatan sepanjang jalan dari Kuching ke Samarahan yang bermasalah.
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata ini kerana projek terbabit dilaksanakan di bawah Kerajaan Sarawak dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
"Saya difahamkan ada permintaan supaya kawalan trafik dilaksanakan di sana," katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Tahun Baharu Cina 2022 di Dewan SUPP Matang, di sini, hari ini.
Lebih 100 warga emas dan golongan memerlukan menerima sumbangan itu. Hadir sama ADUN Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman.
Fadillah berkata, di peringkat JKR Sarawak pula, ada kontraktor projek terbabit telah ditamatkan.
Oleh itu, katanya kontraktor baharu akan dilantik untuk menyiapkan kerja projek yang berkaitan Sistem Kawalan Trafik Pintar.
“Saya tidak tahu (bila kontraktor baharu akan dilantik) kerana ia di bawah kuasa kerajaan negeri dan JKR negeri," tambahnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah yang akan diambil kementerian terbabit bagi mengatasi masalah kesesakan jalan dari Kuching ke Samarahan.
Sementara itu, JKR Sarawak dalam kenyataan sebelum ini mendedahkan penaiktarafan lima bulatan sepanjang jalan Kuching ke Samarahan yang mula dilaksana sejak 15 Oktober 2020 namun belum dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan atas faktor tertentu.
Projek yang dijangka siap pada 14 Januari lalu itu menghadapi beberapa penangguhan sehingga menyebabkan kerja pembaikan tidak dapat disiapkan.
Sumber dari : Jiwa Bakti